
KUALA LUMPUR 25 Julai - Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendedahkan modus
operandi dalam kes sebuah bank tempatan ditipu RM75 juta baru-baru ini, adalah
dengan menyadur kepingan tembaga menggunakan emas tulen.
Disebabkan itu, pihak bank gagal mengesan ketulenan emas berkenaan ketika
membuat tapisan pertama melalui timbangan menyebabkan pinjaman diluluskan.
Lebih licik, sindiket itu mempergunakan penduduk kampung dengan menawarkan
upah RM300 hingga RM800 seorang bagi mencagarkan emas palsu tersebut ke sistem
pajak gadai Islam, Ar-Rahnu.
Sejurus pinjaman diluluskan dan pembayaran dibuat, wang tersebut akan
diserahkan kepada sindiket dan wang upah akan diberikan kepada penduduk kampung
tersebut.
Bagaimanapun, selepas tempoh tertentu dan melalui ujian seterusnya menerusi
Unit Penyiasatan Kewangan, pihak bank menyedari terdapat tembaga di dalam emas
berkenaan sehingga membawa kepada terbongkarnya kegiatan sindiket terbabit.
Sindiket penipuan berkenaan dipercayai menggunakan modus operandi sama di
cawangan-cawangan bank tersebut di seluruh negara.
Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Ibu Pejabat
Polis Bukit Aman, Datuk Syed Ismail Syed Azizan, kes yang sama dilaporkan
membabitkan enam negeri iaitu di Pulau Pinang, Selangor, Kuala Lumpur, Perak,
Kedah dan Melaka.
Katanya, beberapa tangkapan telah dibuat untuk membantu siasatan kes itu
tetapi beliau enggan mendedahkan bilangan mereka terlibat.
Beliau turut enggan mendedahkan secara terperinci pecahan kerugian dan
bilangan kes dilaporkan di negeri-negeri terlibat kerana siasatan masih
dijalankan.
"Polis akan menemui pegawai bank tempatan berkenaan esok, bagi
membincangkan kelemahan yang boleh diatasi dalam sistem pajak gadai tersebut.
"Kes tersebut masih dalam peringkat siasatan dan operasi memburu
suspek sedang dijalankan," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di
sini hari ini.
Sementara itu, Ketua JSJK Pulau Pinang, Asisten Komisioner Roslee Chik
berkata, sebanyak 14 laporan diterima membabitkan jumlah kerugian sebanyak
RM5.2 juta dialami cawangan bank tersebut di negeri itu.
"Seramai 43 penduduk kampung di Daerah Barat Daya negeri dikesan telah
dipergunakan sindiket berkenaan untuk mencagar emas palsu yang dibekalkan
kepada mereka.
"Seorang individu dipercayai orang tengah yang berperanan mempengaruhi
orang kampung berkenaan turut diambil keterangan bagi membantu siasatan,
semalam," katanya lagi.
Jelas Roslee, dalang kes itu telah dikenal pasti dan sedang diburu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan